Keajaiban Sebuah Kemaafan


Seseorang telah melakukan sesuatu yang menyakitkan hati anda susah untuk dimaafkan. Kesalahan yang paling sukar untuk dimaafkan  adalah sebarang bentuk pengkhianatan; khianat antara kawan, khianat cinta dan khianat perniagaan. Jika penggkhianatan berlaku, perasaan sakit  amat berbekas di hati kadangkala akan menimbulkan perasaan dendam dan benci yang amat membara dalam hati seseorang.


Ramai yang memilih untuk tidak mahu  memaafkan pembuat khianat walaupun perasaan itu amat berat untuk dibawa bersama sepanjang hidup. Setiap kali nama pembuat khianat disebut atau kelibat pembuat khianat nampak di di hujung mata orang yang dikhianati, pengalaman perit itu akan timbul kembali. Hati yang dikhianati itu menjadi lebih sakit.
 Apakah ubat yang terbaik untuk menghilangkan sakit, tidak puas hati dan dendam ini? Jawapannya adalah kemaafan.
Perkara pertama yang akan muncul di minda anda sekarang mungkin “Mengapa harus saya memaafkan dia, dia telah melakukan sesuatu yang sangat teruk dan tidak boleh dimaafkan.”

Apa Untungnya Anda Memberi Kemaafan?

Pertama sekali anda harus memandang kemaafan dari satu sudut yang agak berbeza. Kemaafan, jika diberikan tidak akan menguntungkan si pengkhianat kerana tidak ada apa-apa manfaat yang akan dirasai oleh pengkhianat jika anda memaafkan mereka. Pengkhianat tegar akan sentiasa menjadi pengkhianat, tidak kira jika anda memaafkan mereka atau tidak.

Kemaafan sebenarnya memberikan lebih keuntungan kepada diri anda sendiri. Ingat semula seseorang yang pernah anda maafkan dalam hidup anda. Perkara yang dilakukan oleh orang yang telah anda maafkan tidak lagi menjadi beban emosi anda lagi. Anda tidak lagi teringat-ingat perkara buruk yang pernah dilakukan oleh orang itu dan hidup anda lebih gembira selepas kemaafan itu diberikan. Hati yang gembira akan membuatkan rezeki anda bertambah sepanjang masa. Hati yang gembira juga akan membuatkan badan anda menjadi lebih sihat. Keuntungan sebuah kemaafan sebenarnya lebih berpihak kepada si pemaaf.

Bagaimana melatih diri anda memberi kemaafan?
  1. Yakin bahawa setiap kejahatan ada pembalasannya
Hampir kesemua manusia tidak mengira agama, bangsa dan negara percaya bahawa kebaikan akan dibalas kebaikan dan kejahatan akan dibalas kejahatan.

2.   Fokus kepada perkara positif
Setiap apa yang berlaku mempunyai kesan baik dan kesan buruk. Jika teman lelaki anda jatuh cinta dengan kawan baik anda dan mereka akhirnya berkahwin, jangan lihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif. Cuba lihat daripada sudut yang lebih positif. Anda mungkin berpeluang untuk mencari teman lelaki yang lebih baik dan lebih sesuai dengan anda. Mungkin anda kini boleh lebih fokus kepada kerjaya yang anda impikan.

3.  Sibukkan diri anda dengan aktiviti baru
Halang minda anda daripada berfikir mengenai peristiwa pengkhianatan itu dengan aktiviti-aktiviti yang anda gemari. Perasaan telah dikhianati adalah satu perasaan yang amat berat untuk dilupuskan, perlu ada rancangan yang baik untuk menghilangkan perasaan ini. Ia tidak akan hilang begitu sahaja.

4.  Beri masa kepada diri anda
Anda perlu beri masa kepada diri anda untuk member kemaafan. Seperti luka di tubuh, perasaan negative juga memerlukan masa untuk sembuh. Jika anda tidak boleh memaafkan pada hari ini, cuba maafkan pada hari esok.

5. Maafkan dan lupakan
Setelah anda rasa anda boleh memaafkan, lupakan kejadian itu. Jika kawan-kawan anda masih bercerita mengenai kejadian itu, minta mereka untuk berhenti bercerita lagi. Apabila anda sudah mula melupakan peristiwa tersebut dan sudah memberi kemaafan, hati anda akan mula terasa tenang.

Pada waktu ini anda akan mula meihat kejadian yang pernah berlaku itu dalam sudut yang lebih berbeza, kadangkala anda akan ketawa bila mengenangkan peristiwa tersebut. Jika anda sudah mampu ketawa semasa mengingat peristiwa itu, anda telah menemui keajaiban sebuah kemaafan yang sebenar.