Merealisasikan Cita-Cita
Setiap orang mempunyai cita-cita masing-masing. Jika anda seorang pekerja, cita-cita anda mungkin mahu mendapat gaji yang lebih tinggi pada tahun hadapan. Jika anda seorang penuntut, mungkin anda mahu mendapat markah yang tertinggi dalam ujian akan datang. Jika anda pula seorang suri rumahtangga, mungkin anda mahu membina satu perniagaan sambilan di rumah seperti perniagaan online. Setiap orang mempunyai hak untuk membina cita-cita dan berusaha untuk mencapainya.
Seperti melakukan kerja-kerja lain, mencapai cita-cita juga mempunyai prosesnya yang tersendiri Berikut adalah panduan daripada beberapa buah buku yang saya pernah baca.
1. Ketahui apa yang benar-benar anda mahukan
Banyak kali anda melihat seseorang yang telah berjaya dan anda mahu menjadi 100% seperti orang itu. Anda buat semua yang dia lakukan, kadangkala berjaya dan kadangkala tidak.
Setiap manusia melalui pengalaman hidup yang berbeza-beza yang mencorakkan motivasi dalaman mereka sendiri. Tidak ada dua manusia yang sama di muka bumi ini daripada segi motivasi dalaman, walaupun mereka datang daripada perut ibu yang sama.
Pertama sekali anda harus bertanya kepada diri anda sendiri apa yang anda benar-benar mahukan dalam mengejar cita-cita anda ; Wang lebih? Kepuasan bekerja? Tahap tertinggi dalam kerjaya anda? Mengisi masa lapang? Kenali motivasi dalaman anda sendiri dan jangan meniru motivasi orang lain secara membuta-tuli. Kesedaran ini akan membuatkan anda lebih fokus kepada cita-cita anda nanti.
2. Yakinkan diri bahawa anda layak mencapai cita-cita ini
Jika anda mempunyai cita-cita tetapi anda rasa anda tidak layak atau tidak mungkin akan berjaya mencapai cita-cita tersebut, itulah yang akan terjadi akhirnya. Anda tidak akan berjaya mencapai cita-cita tersebut.
Kenali apa yang menyebabkan anda mempunyai perasaan sedemikian. Jika ada kawan-kawan atau orang terdekat yang sentiasa membuatkan anda mempunyai perasaan sebegitu, kurangkan sedikit masa bersama mereka. Jika anda rasa anda tidak yakin kerana kekurangan masa, susun semula hidup anda agar anda mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai cita-cita anda.
3. Hilangkan perasaan takut
Dalam mengejar cita-cita rasa takut akan sentiasa menghantui anda. Takut kerana tidak cukup ilmu untuk bertanding, takut kerana orang di sekeliling mungkin tidak bersetuju dengan tindakan anda, takut membat kesilapan. Semua perasaan ini akan sentiasa bermain-main di minda anda. Katakan tidak kepada perasaan takut ini. Lakukan apa yang perlu untuk meyakinkan diri anda bahawa anda boleh mencapai cita-cita anda ini. Jika anda rasa anda tidak cukup ilmu, pergi ke perpustakaan dan baca buku-buku yang perlu untuk menambah pengetahuan anda. Jika anda taku membuat kesilapan yang akan membawa kerugian, luangkan masa untuk membuat lebih kajian mengenai cita-cita anda itu.
4. Sertai komuniti yang mempunyai cita-cita yang sama
Mempunyai kenalan yang mempunyai minat dan cita-cita yang sama akan memudahkan anda untuk mencapai cita-cita anda itu. Maklumat dan pengalaman boleh dikongsi bersama dan anda akan menjadi lebih yakin untuk mencapai cita-cita anda.
5. Rancang tindakan anda dengan teliti
Perancangan teliti amat penting dalam semua kerja yang kita lakukan. Perancangan yang teliti dan jelas akan lebih meyakinkan diri anda untuk mencapai cita-cita anda tersebut. Anda juga akan dapat mengetahui kekangan-kekangan yang mungkin timbul lebih awal supaya anda lebih bersedia menghadapinya nanti.
Perancangan yang teliti dan jelas juga akan membuatkan orang lain lebih yakin dengan cita-cita anda. Ini juga akam memudahkan orang lain untuk membantu anda untuk mencapai apa yang anda impikan.
6. Disiplin
Paling penting adalah disiplin. Walau sebaik manapun rancangan anda, jika anda tidak mempunyai disiplin untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai cita-cita anda, ia akan terkubur sahaja nanti.
Kenali minyak pelincir apa yang diperlukan untuk mengekalkan momentum kerja anda. Mungkin anda perlu membaca tulisan-tulisan motivasi. Mungkin juga anda perlu bertemu dengan orang yang anda kasihi setiap minggu untuk mengekalkan prestasi kerja anda setiap masa.